KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan membuka ‘pintu’ Istana Balai Besar, di sini kepada rakyat jelata bagi pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19 selama lima hari bermula hari ini.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, perkenan baginda menjadikan Istana Balai Besar merupakan satu-satunya istana di negeri ini yang dibuka bagi tujuan kemudahan tersebut.
Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tersebut anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bagi Fasa 2 dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini.
“Fasa pertama telah dilaksanakan pada 9 Jun lalu membabitkan seramai 350 penerima vaksin yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Istana Negeri Kelantan.
“Bagi Fasa 2 mulai hari ini, 2,000 penerima dijangka menerima vaksin iaitu 1,000 penerima adalah rakyat jelata dan selebihnya kakitangan dan kerabat Istana Negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Tengku Azmi dalam pada itu berkata, Sultan Kelantan menitahkan semua rakyat Kelantan di dalam dan luar negeri supaya mengambil serius dengan peningkatan Covid-19 di negeri ini serta seluruh negara dan segera memainkan peranan masing-masing.
“Baginda juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan yang terlibat dalam mengekang penularan Covid-19 terutamanya kakitangan Kementerian Kesihatan.
“Beberapa program lain sedang dalam perancangan pihak kami untuk diadakan di Istana Balai Besar termasuk program penyerahan bakul makanan kurniaan baginda kepada penduduk negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra pula prihatin terhadap masalah serta kekangan yang dihadapi oleh pihak Kementerian Kesihatan dalam memastikan kelancaran proses pemberian vaksin Covid-19.
Sehubungan itu katanya, pada 23 Jun lalu bertempat di Istana Balai Besar juga, Tengku Mahkota Kelantan telah mengampuni untuk mengurniakan sumbangan lima peti ‘top loading’ bagi tujuan kemudahan penyimpanan bekalan vaksin Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan.