Sudah tiba masa rintis persefahaman kerajaan, pembangkang - Utusan Malaysia

Sudah tiba masa rintis persefahaman kerajaan, pembangkang

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah masanya semua pihak merealisasikan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin pembangkang dalam mengorak langkah persefahaman yang dimeterai antara kedua-dua pihak, semalam.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pertemuan itu berpotensi mengubah lanskap dan budaya politik tanah air sekiranya disusuli dengan langkah konkrit untuk membawa reformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan serta memperkasa institusi Parlimen.

Katanya, cabaran sekarang adalah bagaimana merealisasikan semangat yang dipersetujui dalam kenyataan bersama tersebut.

“Saya cukup yakin bahawa sekiranya kedua-dua pihak mengambil satu langkah ke belakang, kami mempunyai ruang yang cukup besar untuk mencapai satu persefahaman yang akan memberi impak positif jangka panjang kepada negara kita.

“Setiap ahli politik mempunyai tanggungjawab mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara kita,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Ia dirintis menerusi satu pertemuan antara Ketua Pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri semalam.

Ismail Sabri berkata, ia melibatkan fungsi menyemak dan imbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Dalam pada itu, Anthony  menyifatkan pertemuan itu sebagai satu peristiwa bersejarah dalam politik Malaysia dan sikap lama melihat pembangkang sebagai musuh politik perlu ditolak.

“Paradigma lama yang mana parti kerajaan melihat parti pembangkang sebagai musuh politik semata-mata atau sebaliknya perlu dianjak dan diubah.

“Kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu ada kerjasama walaupun kami tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN