PETALING JAYA: Satu siasatan akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran rasuah dengan nilai tertentu membabitkan ahli politik.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sedia maklum tiga aduan mengenai perkara terbabit melibatkan ahli Parlimen dari pembangkang.
Sehubungan itu kata beliau, SPRM telah pun mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Ya, daripada tiga aduan terbabit satu aduan telah diterima oleh SPRM manakala dua lagi dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil siasatan kita mendapati, individu yang menawarkan tawaran itu adalah daripada mereka yang tidak dikenali oleh ahli Parlimen berkenaan.
“Malah, nombor telefon yang digunakan individu tersebut juga adalah nombor bogus atau palsu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.