GEORGETOWN: Polis mengesan taktik baharu membabitkan sindiket penipuan tawaran kerja kosong yang kononnya melalui syarikat beli-belah dalam talian terkenal sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM1.2 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komissioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, pihaknya menerima 149 laporan polis berhubung penipuan tawaran kerja di platform-platform e-dagang terkenal sejak Januari hingga 14 Ogos lalu.
Katanya, sebanyak 107 kertas siasatan berhubung kes itu dibuka dengan 66 daripada mangsa adalah wanita manakala 41 lelaki yang berusia antara 24 tahun hingga 54 tahun.
Daripada jumlah itu, tambah beliau, seramai 35 mangsa terdiri daripada golongan penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah.
“Modus operandi sindiket ini adalah mereka mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram serta Facebook dan individu berminat menekan pautan diberikan menggunakan logo platform membeli-belah.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja kemudian diarahkan sindiket membeli barangan di platform e-dagang dan dijanjikan komisen antara lapan hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rosni, mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang ke akaun wang yang dikawal sindiket dan dijanjikan menerima semula wang mereka berserta komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat.
“Pada awalnya, mangsa menerima wang dan komsiyen mereka, namun selepas membuat pembelian dalam jumlah yang tinggi mereka disekat untuk menghubungi sindiket tersebut.
“Pembayaran barang dan tawaran kerja ini bertujuan menaikkan rating barangan tersebut di dalam platform berkenaan dan sindiket ini menggunakan keldai akaun bagi urus niaga perbankan,” katanya.
Tambah beliau, polis kini sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan itu selain turut menahan sejumlah individu yang menjadi keldai akaun kepada kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, sepanjang Januari hingga 14 Ogos tahun ini juga, terdapat peningkatan kes melibatkan jenayah siber di negeri ini sehingga mencecah kerugian RM54.17 juta berbanding RM29.94 juta tahun lalu.
Katanya, ia melibatkan sebanyak 1,767 kes jenayah siber berbanding 1,252 kes pada tahun lalu.
Tambah beliau, antara Januari sehingga 14 Ogos tahun ini juga, sebanyak 519 kes melibatkan penipuan Macau Scam dilaporkan dengan kerugian RM9.1 juta; e-dagang (586 kes – RM3.9 juta); parcel dan Love Scam (283 kes – RM3.5 juta); pelaburan tidak wujud (283 kes – RM3.09 juta) dan pelaburan (284 kes – RM34.3 juta).
Jelasnya, penipuan melibatkan kes pelaburan meningkat secara drastik iaitu sehingga 277.9 peratus; e-dagang (68.3 peratus); parcel dan Love Scam (45.5 peratus) manakala kes Macau Scam menurun pada kadar 28.3 peratus dan pelaburan tidak wujud (3.9 peratus).
Tambah beliau, majoriti kes jenayah siber itu meningkat disebabkan ketika tempoh pandemik Covid-19 orang ramai cenderung menggunakan platform secara dalam talian untuk melakukan urusan masing-masing.
“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika menjalankan urusan di dalam talian agar tidak terpedaya dengan mana-mana sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE