JOHOR BAHRU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditangguh sementara pada 12 Ogos lalu akan disambung semula pada 22 hingga 25 Ogos ini walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi memerintah di peringkat Pusat.
Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat bagaimanapun berkata, tempoh persidangan akan dipendekkan kepada empat hari dan berlangsung setengah hari sahaja sebagai langkah pencegahan Covid-19.
“Sebelum ini, Sidang DUN Johor ditangguhkan bagi memberi masa kepada Dewan Negeri untuk melakukan persediaan bersesuaian dengan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
“Oleh demikian, selain tempoh masa bersidang dipendekkan, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu menjalani ujian saringan RTK-Ag setiap hari. Mereka juga dinasihatkan untuk menetap di hotel berhampiran dan bukannya berulang alik pulang ke kawasan masing-masing sepanjang tempoh Sidang DUN berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada pemandu teksi di Pasaraya A-Mart Kempas, di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Suhaizan menangguhkan Sidang DUN selepas dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membolehkan penilaian berkaitan prosedur operasi standard (SOP) persidangan dilakukan.
Mengikut jadual asal, persidangan itu sepatutnya disambung semula pada 15 Ogos selama lima hari sebelum sesi penggulungan pada hari terakhir iaitu pada 22 Ogos. – UTUSAN










