Sesi penggulungan Exco Kesihatan Perak kecoh, dituduh 'menyorok' di belakang MB - Utusan Malaysia

Sesi penggulungan Exco Kesihatan Perak kecoh, dituduh ‘menyorok’ di belakang MB

MOHD. Akmal Kamarudin (kanan) ketika sesi penggulungan sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sesi penggulungan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kecoh apabila beberapa wakil pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan selain menuduh pemimpin tersebut tidak menjalankan tugasnya dengan baik.

Penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri, Mohd. Akmal Kamarudin, kerap kali terganggu apabila wakil pembangkang beberapa kali bangun meminta penjelasan terutama apabila melibatkan isu berkaitan Covid-19.

Antara tuduhan dilemparkan kepada Mohd. Akmal ialah beliau tidak turun padang melihat sendiri situasi Covid-19 serta program vaksinasi yang dijalankan di Perak, selain dikatakan cuba sabotaj dan ‘bersembunyi’ di belakang Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, ketika berhadapan dengan isu berkaitan pandemik tersebut di negeri ini.

Kekecohan itu mengakibatkan Speaker DUN, Datuk Mohamed Zahir Khalid, terpaksa campur tangan beberapa kali bagi menenangkan dewan persidangan.

Keadaan itu juga menyebabkan sesi penggulungan itu yang sepatutnya diperuntukkan selama 20 minit berlarutan sehingga 40 minit sebelum Mohamed Zahir kemudian meminta Mohd. Akmal agar menamatkan penggulungan walaupun dikatakan beliau belum menjawab beberapa lagi isu lain berkaitan portfolionya yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan sebelum ini.

Bercakap pada sidang akhbar secara maya kemudiannya, Mohd. Akmal menafikan beliau cuba mensabotaj Saarani dalam isu berkaitan Covid-19 sebaliknya mereka bekerja sebagai satu pasukan dan hubungan mereka berdua sentiasa dalam keadaan baik.

Jelasnya, sebahagian besar isu berkaitan Covid-19 dan vaksinasi dijawab Saarani kerana beliau adalah Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Perak, dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri dan dianggotai beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya tidak berada dalam jawatankuasa itu tetapi turut hadir dalam semua 13 mesyuarat yang telah dibuat sebelum ini.

“Perkara ini telah disusun oleh Kerajaan Pusat iaitu Menteri Besar mesti mengetuai jawatankuasa itu,” katanya sambil menjelaskan tidak berkecil hati dengan keputusan Kerajaan Pusat itu.

Mengenai dakwaan tidak turun padang, beliau berkata mesyuarat Exco sudah memutuskan bahawa semua Exco harus mengehadkan pergerakan mereka serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam keadaan pandemik sekarang.

Beliau bagaimanapun menyatakan ada turun padang termasuk melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini tetapi tidak dihebahkan serta tidak dimaklumkan kepada media.

“Jadi, apabila tiada publisiti, orang ingat saya tidak buat kerja, sehingga saya sendiri dimarahi media kerana tidak mengundang mereka, mungkin ini kelemahan saya sendiri dan akan memperbaikinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN