Sembunyi bawah kaunter meja stesen minyak sebelum ditahan - Utusan Malaysia

Sembunyi bawah kaunter meja stesen minyak sebelum ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kegiatan seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah pecah masuk stesen minyak dan kedai di sekitar daerah ini, terbongkar selepas dia diberkas polis  Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketika ditahan suspek berusia 29 tahun itu  bersembunyi di bawah meja kaunter selepas dipercayai melakukan jenayah sama di sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban, di sini.

“Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang bekerja di syarikat penggera keselamatan memaklumkan stesen minyak itu dipecah masuk pada pukul 3.27 pagi.

“Setibanya di lokasi, kelihatan cermin kaca stesen minyak tersebut dipecahkan dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek masih berada di dalam kedai dengan bersembunyi di bawah meja kaunter sebelum menahannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Aidi Sham, semasa tangkapan dibuat, barang kes yang dirampas adalah wang tunai RM500, tukul besi, sarung tangan, topi, beg pinggang, motosikal dan pakaian.

“Polis juga  membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang pernah diduduki suspek di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, di sini.

“Barang-barang dipercayai hasil daripada pecah kedai dan pecah stesen minyak seperti rokok pelbagai jenama, telefon bimbit, I-Pad, perisa vape, gelang hiasan tangan, cincin hiasan, kad memori, mikrofon, screen protector telefon dan cermin mata turut dirampas.

“Susulan tangkapan tersebut, polis percaya menyelesaikan lima kes pecah stesen minyak dan kedai di Port Dickson, satu kes di Seremban manakala dua lagi kes di daerah Nilai dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM69,713,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek melakukan kegiatan jenayah itu secara solo sejak Oktober tahun lalu, namun suspek yang tidak bekerja tiada sebarang rekod jenayah lampau.

“Keputusan saringan air kencing suspek bebas daripada pengaruh dadah. Suspek kini ditahan reman lima hari bermula Selasa lalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya