Seleweng minyak subisidi jadi minyak industri - Utusan Malaysia

Seleweng minyak subisidi jadi minyak industri

KPDNHEP membanteras kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di Seri Kembangan, Selangor. - IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan peniaga culas yang menjadikan rumah kedai teres setingkat sebagai stor dan tempat melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram (kg) akhirnya terbongkar dalam serbuan yang dijalankan hari ini.

Operasi di Seri Kembangan, Selangor itu dijalankan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP hasil risikan yang dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi), Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, pemeriksaan menemukan sebanyak 5,695 minyak masak bersubsidi peket satu kg untuk diseleweng dengan memindahkannya ke dalam bekas minyak masak industri.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan dua unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter berisi 1,440 kg minyak, sisa plastik minyak masak bersubsidi peket satu kg yang telah digunting dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri.

“Premis ini disyaki digunakan sebagai stor dan tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket satu kg untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri.

“Kesemua peralatan dan minyak masak ini disita dengan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM26,374.50,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Shamsul Nizam berkata, hasil risikan mendapati bahawa sindiket beroperasi hampir tiga bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi peket satu kg daripada pemborong berlesen.

Katanya lagi, minyak masak bersubsidi peket satu kg itu seterusnya dilerai dan dikumpulkan di dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi.

“Tiga pekerja lelaki warga asing berumur 27 rahun hingga 34 tahun yang berada di premis kejadian ditangkap bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan minyak masak yang melibatkan urusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3 juta.

“Tindakan awal seperti menggantung lesen CSA dan borong serta kuota minyak masak akan dilakukan untuk membantu siasatan lanjut,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN