IPOH: Jurulatih Selangor, Karsten Neitzel mengakui kecut perut seketika apabila anak-anak buahnya beraksi di bawah tahap ketika menentang Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam kelmarin.
Menurut pengendali dari Jerman itu, dia tidak tahu apa yang dilakukan skuad Gergasi Merah setelah kehilangan bola selain memberi peluang kepada pihak lawan.
“Mujur lawan tidak menjaringkan gol, cuma selepas memperoleh gol pertama pada minit ke-42 dan tiga minit kemudian, barulah kami mendapat kembali rentak.
“Baki perlawanan seterusnya adalah milik kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor menang 3-0 ke atas Perak.
Dalam pada itu, Neitzel mengakui lega selepas mereka berjaya mengutip mata penuh selepas menerima tentangan sengit yang tidak dijangkakan daripada Bos Gaurus.
“Perak punyai barisan pemain muda. Mereka bermain dengan penuh semangat dan mencuba bersungguh-sungguh. Saya gembira kami mampu melepasi cabaran ini,” katanya.
Dengan kemenangan itu, Selangor menduduki tangga ketiga Liga Super dengan mengutip 32 mata dari 19 perlawanan.
Bagaimanapun Neitzel sedar pencabar terdekat, Kedah FC yang turut mengutip 32 mata punyai kelebihan kerana bermain kurang tiga perlawanan.
Jurulatih berasal dari Jerman itu berharap rehat beberapa hari sebelum turun semula Sabtu ini dimanfaatkan anak buahnya untuk menghadapi Melaka United.