Sekretariat Solidariti Rakyat mungkin saman pihak polis

Sekretariat Solidariti Rakyat mungkin saman polis

TANGGAL 19 Ogos lepas, seramai 31 peserta himpunan mengenang lebih 13,000 rakyat yang kehilangan nyawa akibat Covid-19 ditahan di Dataran Merdeka pada malam itu dan dihantar ke IPD Dang Wangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Rakyat tidak menolak kemungkinan untuk menyaman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan tindakan yang diambil ke atas 31 peserta yang ditahan baru-baru ini. 

Menurut kenyataannya, pihak sekretariat sedang berbincang dengan beberapa rakan peguam berkenaan tindakan yang bakal diambil dan tidak menolak untuk menyaman pihak PDRM.

Katanya, ini berikutan tangkapan yang dibuat tidak berasaskan lunas perlembagaan dan peserta yang ditahan tidak diberikan akses untuk diwakili oleh peguam setiap seorang. 

“Kami membuat laporan polis pada 22 Ogos (semalam) di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul agar siasatan dibuat terhadap pegawai polis IPD Dang Wangi yang menahan peserta pada malam tersebut.

“Namun, peserta malam tersebut juga dinasihatkan untuk membayar kompaun yang dikenakan. Jumlah kompaun adalah sebanyak RM62,000 melibatkan 31 orang peserta. 

“Sehubungan itu, kami ingin meminta jasa baik rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi untuk menyumbang bagi membantu peserta membayar kompaun yang dikenakan. Sumbangan boleh disalurkan ke 8603878996, CIMB Bank (Persatuan Pengundi Muda) dengan rujukan #LAWAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

19 Ogos lepas, seramai 31 peserta himpunan mengenang lebih 13,000 rakyat yang kehilangan nyawa akibat Covid-19 ditahan di Dataran Merdeka malam itu dan dihantar ke IPD Dang Wangi.

Tambah kenyataan itu, malam tersebut sepatutnya menjadi ruang untuk bertafakur sejenak bagi mengenang rakan-rakan dan saudara-mara yang terkorban bertukar menjadi kecoh apabila pihak polis menahan kesemua mereka yang hadir.

Katanya, sememangnya pihak polis berkeras menyatakan bahawa kesemua yang hadir tidak ditahan, namun para peserta yang hanya meletakkan bunga ros dan menyalakan lilin kemudiannya ditarik, ditolak serta diheret dengan kasar kerana pihak polis yang berada di sana gagal memberikan sebarang sebab untuk menahan peserta. 

“Setelah semua dipaksa menaiki trak polis ke IPD Dang Wangi dan disoal siasat di sana, baharulah polis memaklumkan bahawa penahanan dibuat di bawah tiga akta iaitu Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 21A Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1985 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit.

“31 orang yang hadir membakar lilin dan meletakkan bunga ros sebagai memorial dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya