Sejam padam api di bengkel besi - Utusan Malaysia

Sejam padam api di bengkel besi

PASUKAN bomba berdepan kesukaran untuk masuk ke lokasi kebakaran di sebuah bengkel pembuatan besi di Lorong Batu Lanchang, Taman Besi, Pulau Pinang pagi ini berikutan laluannya yang sempit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran di sebuah bengkel pembuatan besi di Lorong Batu Lanchang, Taman Besi, di sini pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan dan mendapati api dalam keadaan marak.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan tujuh jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Lebuh Pantai serta tiga dari Pasukan Bomba Sukarela Paya Terubong, Sri Tanjung dan Bukit Bendera.

“Pasukan kami berdepan kesukaran berikutan laluan ke lokasi kebakaran yang sempit sehingga jentera tidak dapat masuk selain terletak berdekatan dengan deretan rumah penduduk.

“Anggota terpaksa menarik kira-kira 150 meter hos masuk ke lokasi kebakaran itu bagi melakukan operasi pemadaman api.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 10.45 pagi dan pemeriksaan di lokasi kejadian menemui satu silinder gas berada dalam keadaan bocor,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan bengkel berkenaan tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei lalu.

“Punca kebakaran dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan pasukan forensik bomba,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN