Segerakan Akta Anti Lompat Parti - DAP - Utusan Malaysia

Segerakan Akta Anti Lompat Parti – DAP

GOBIND Singh Deo (tengah) bersama sebahagian komuniti Warga Prihatin Taman Lestari Putra, Seri Kembangan, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan perlu memberi fokus dan menyegerakan penggubalan Akta Anti Lompat Parti dan undang-undang yang perlu dipinda bagi tujuan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mengkaji cadangan recall election atau  pilihan raya bagi memecat wakil rakyat bagi menghalang mana-mana wakil rakyat  lompat parti demi kepentingan sendiri.

Beliau menjelaskan, tambahan pula, perkara itu antara tiga fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang baharu, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk  memperkenalkan akta anti lompat parti selain transformasi Parlimen dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

“Sebagai permulaan adalah lebih baik kita realisasikan dahulu Akta Anti Lompat Parti untuk dibincang dan dibawa segera dalam Parlimen. Daripada situ kita akan kaji keperluan untuk melaksanakan recall election dan bagaimana kita boleh wujudkan satu suasana yang boleh memastikan masalah ini dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu beliau meninjau persiapan Program Semarak Kemerdekaan anjuran komuniti Warga Prihatin Taman Lestari Putra, Seri Kembangan, dekat sini.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, Akta Anti Lompat Parti adalah perkara penting bagi menutup ruang yang boleh digunakan mana-mana wakil rakyat sehingga boleh menyebabkan kerajaan runtuh.

Katanya, tindakan sedemikian tidak boleh diteruskan kerana ia menafikan hak rakyat yang keluar mengundi dan mereka mahukan satu jaminan bahawa undi mereka itu ada nilai dan tidak boleh disalah guna.

“Nilai itu hanya boleh kita berikan kalau kita ada undang-undang yang melarang seseorang wakil rakyat itu selepas mendapat sokongan rakyat dan dipilih rakyat, tetapi wakil rakyat itu lompat parti pula. Kita tidak mahu keadaan sedemikian sehingga boleh membawa ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan atau negeri,” katanya. 

Cadangan Recall Election itu dinyatakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dengan menjelaskan, mekanisme itu membolehkan setiap wakil rakyat yang dipilih terus berkhidmat demi rakyat sehingga akhir penggal dengan menggunakan parti yang sama mereka menangi sewaktu pilihan raya umum (PRU) sebelumnya.

Ia kemudian boleh meneruskan dengan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat baharu sebagai salah satu kaedah yang boleh diambil dalam Akta Anti Lompat Parti.

Cadangan itu sebagai respon mengenai langkah pencegahan daripada wakil rakyat melompat parti kerana hak itu dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.

“Recall Election adalah mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti dan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat baharu,” kata Azalina. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN