PUTRAJAYA: Selepas hampir 10 tahun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersedia membawa cadangan agar imej mata wang kertas ringgit yang sedia ada diganti siri baharu.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan mengemukakan perkara tersebut kepada pihak terbabit agar imej dipapar mata wang tempatan itu lebih bercorak jati diri kebangsaan yang kaya seni tradisional
“Ya, saya bersetuju sudah tiba masanya mata wang ringgit diberikan imej nafas baharu yang lebih teguh identiti kenegaraan kita dan dikagumi masyarakat antarabangsa.
“Insya-Allah, cadangan itu memang agak menarik dan saya akan membawa saranan ini terus kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya pada sesi soal jawab selepas membuat Pengumuman Penerima Manfaat Inisiatif Pemulihan Cendana di bawah Program Prisma secara atas talian hari ini.
Ketika ini, mata wang kertas siri keempat diterbitkan sejak 2012 itu memaparkan imej wau bulan, burung enggang, penyu, bunga pakma, pokok kelapa sawit dan Gunung Kinabalu yang menggantikan siri ketiga dikeluarkan pada 1996, memaparkan imej antaranya Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, pelantar minyak dan kilang Proton. – UTUSAN ONLINE