PETALING JAYA : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan terus membawa agenda idea dasar dan melaksanakan semak imbangi atas segala keputusan kerajaan demi kebaikan rakyat.
Malah beliau menegaskan akan sentiasa menjunjung Keluhuran Perlembagaan untuk negara.
“Saya akan teruskan kerja dan politik khidmat sebagai ahli Parlimen pembangkang.
“Sebagai ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab hakiki saya adalah untuk terus membawa idea dasar dan polisi serta melaksanakan semak imbang ke atas setiap keputusan kerajaan untuk kebaikan rakyat.
“Paling penting, saya akan sentiasa menjunjung Keluhuran Perlembagaan untuk negara. Kerajaan yang baru dibentuk ini wajib bekerja keras untuk menangani krisis Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau kemudian merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.
“Patik menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Majlis Raja-Raja Melayu atas perkenan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri kesembilan,” katanya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










