'Saya pun sudah meluat dengan apa yang berlaku dalam dunia politik Malaysia' - Utusan Malaysia

‘Saya pun sudah meluat dengan apa yang berlaku dalam dunia politik Malaysia’

AHMAD Faizal Azumu ketika melakukan lawatan rasmi di PPV IDCC Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Parlimen diminta berhenti bertelagah mengenai keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri buat seketika demi kebaikan rakyat dan negara.

Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, wakil rakyat sepatutnya memberi sokongan terhadap kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 yang semakin mengganas ketika ini.

“Dalam tempoh dua bulan ini, kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin harian kepada rakyat.

“Sementara menunggu sesi pengundian terhadap Perdana Menteri di Parlimen September ini, saya harap ahli politik berhenti seketika bercakap mengenai hal (keabsahan) ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan rasmi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Selasa lalu, UMNO menyatakan pendirian bahawa mereka menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) apabila 11 ahli Parlimen daripada parti itu bertindak sedemikian.

Namun Muhyiddin pada Rabu menyatakan bahawa Kerajaan PN masih lagi utuh dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan beliau membuat usul undi percaya di Dewan Rakyat, bulan depan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menzahirkan penghargaannya terhadap Seri Paduka yang memperkenankan undi tersebut dilaksanakan.

Justeru beliau meminta semua ahli Parlimen melupakan seketika hal tersebut kerana mereka boleh menyatakan pendirian mereka di Parlimen kelak.

“Saya sebagai orang politk pun sudah meluat dengan apa yang berlaku dalam dunia politik Malaysia.

“Saya gesa semua ahli politik bersatu dalam tempoh sebulan ini menyokong agenda kerajaan meningkatkan ekonomi negara semula,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya