SHAH ALAM: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mengumumkan beliau akan setia dengan parti dan keputusan Majlis Tertingginya (MT) untuk tidak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun beliau memaklumkan kedudukan Kerajaan PN dan Perdana Menteri adalah sah sehingga dibentangkan Usul Undi Percaya di Parlimen pada September nanti bagi menentukan keabsahan Muhyiddin.
Namun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak menolak sekiranya berlaku keputusan sebaliknya ketika menunggu persidangan Parlimen nanti apabila memaklumkan terdapat kaedah lain bagi menentukan kedudukan Muhyiddin selain daripada Usul Undi Percaya.
“Bagi saya, sehinggalah Parlimen bersidang (keabsahan PN dan Muhyiddin), melainkan sebelum bersidang, mungkin ada lagi sebarang titah Yang di-Pertuan Agong, saya kena akur kerana kita tahu bahawa untuk membuat pengabsahan kedudukan Perdana Menteri ada dua cara, pertama di Parlimen yang akan dibuat melalui usul undi percaya.
“Kedua, seperti yang sedia maklum berlaku di Perak dahulu. Seri Paduka juga boleh memanggil seorang demi seorang ahli Parlimen untuk mengesahkan pendirian masing-masing. Jadi setakat hari ini, keputusan Seri Paduka adalah menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat pengabsahan, maka saya kena menjunjung titah Seri Paduka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin dalam sidang akhbar bersama sebahagian anggota Kabinetnya di Perdana Putra memaklumkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan PN masih sah dan mendapat sokongan majoriti.
Bagaimanapun, beliau memberitahu sedar mengenai kemelut yang timbul dan memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menyerahkan kepada Parlimen mengenai kedudukannya dan Kerajaan PN pada September ini.
Dalam pada itu, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menegaskan pendiriannya yang tidak akan berpaling daripada parti.
“Saya ingin menafikan kalau ada dakwaan bahawa saya ini mudah dibeli ataupun pendirian saya ini flip-flop, saya berpendirian sebagai pemimpin UMNO, yang benar saya kata benar.
“Kalau tak benar, saya kata tak benar, inilah pendirian saya di mana juga saya berada di mesyuarat atau perbincangan, saya akan berani untuk bersuara bukannya seperti tanggapan depan cakap lain belakang cakap lain, itu bukan Noh Omar.
“Saya kalau tak betul, saya kata tak betul, jadi saya hendak tegaskan lagi bahawa saya akur dan akan bersama dengan parti untuk menunaikan kehendak parti, ini yang saya sedar, saya menjadi Ahli Parlimen di Tanjong Karang bukan kerana Noh Omar, tetapi lambang Barisan Nasional, jentera parti yang bekerja untuk saya maka apapun saya kena setuju kepada keputusan part. Tanpa parti siapalah saya,” katanya.