KUANTAN: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 Peringkat Negeri Pahang berlangsung secara hybrid bersesuaian kebiasaan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat, susulan pandemik Covid-19.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zakaria Ibrahim berkata, sambutan tahun ini dilakukan secara berskala kecil di lapangan, namun menggunakan gabungan fizikal dan maya (hybrid).
Menurutnya, sambutan kali ini diadakan di kawasan terbuka tetapi ruang yang lebih terhad bagi membolehkan pengudaraan baik selain memudahkan pengawalan dilakukan.
“Sambutan kali ini hanya melibatkan tetamu yang hadir seperti kerabat diraja, menteri besar, barisan Exco kerajaan negeri dan 28 ketua jabatan sahaja manakala tetamu maya hanya seramai 250 sahaja.
“Kita tidak menggalakkan orang ramai untuk hadir, namun sebaliknya orang ramai boleh menyaksikan secara maya di laman sosial Facebook Kerajaan Pahang dan Jabatan Penerangan Pahang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan yang berkonsep secara terbuka, terkawal dan berskala kecil serta dihadiri kira-kira 500 tetamu.
Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan diadakan di Pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bermula pukul 8.30 pagi selepas keberangkatan tiba Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Baginda kemudiannya menerima Lintas Diraja sebelum berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggotai 103 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Perbarisan diiringi Pancaragam TUDM dengan seorang pegawai dan 40 anggota lain-lain pangkat pimpinan Leftenan Mohd. Hanif Che Razak dan pegawai penyelaras perbarisan Mejer Mohd. Zaki Mohd. Noor.
Kemudiannya, Tengku Hassanal berkenan menyaksikan upacara menaikkan bendera oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan Tanjung Gelang, Kuantan disusuli lafaz ikrar dan laungan Merdeka diketuai Mejar Mohd. Husni Saberi dari Batalion ke-12 Askar Melayu Diraja, Mekanize.
Dalam pada itu, menariknya, semasa hormat diraja, dua unit udara milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu pesawat Mi-17 dan Agusta A109E membuat lintas langsung dengan membawa Jalur Gemilang.
Kemudiannya, perhatian dialihkan ke ruang udara untuk menyaksikan Lintas Hormat lima buah pesawat Sukhoi SU-30 MKM yang diterbangkan khas No. 12 Skuadron berpengkalan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan.
Sementara itu, walaupun tiada perarakan seperti kereta berhias, pasukan keselamatan, badan korporat dan sebagainya yang diadakan seperti kebiasaan namun acara tetap meriah.
Pelbagai persembahan dihidangkan termasuk persembahan koir, Kumpulan Koir Perkhidmatan Awam Pahang, nyanyian dari penyanyi Roslan Madun dan Duta Tahun Melawat Pahang iaitu Zetty Mentor yang diiringi penari-penari daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang.