Roti bawang putih keju ala Korea pikat pelanggan - Utusan Malaysia

Roti bawang putih keju ala Korea pikat pelanggan

AMIRATUL Nadiah Razarudin menunjukkan roti bawang putih keju ala Korea yang sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggannya di Senawang, Seremban. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Minat mendalam dalam bidang pastri mendorong seorang bekas pegawai bank untuk mengolah dan menghasilkan sendiri menu viral roti bawang putih keju ala Korea. 

Amiratul Nadiah Razarudin, 33, berkata, pada mulanya dia hanya melakukan eksperimen dan mempelajari cara membuat roti tersebut daripada internet sebelum menerima tempahan daripada pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Alhamdulillah tidak sangka ramai pelanggan sukakan roti bawang putih keju ala Korea ini dan membuat tempahan semula selepas sekali cuba.

“Menariknya roti ini semuanya saya buat sendiri daripada bahan asas selain menggunakan bahan premium seperti krim keju dan mentega yang berkualiti bagi memberikan rasa yang sedap,” katanya ketika ditemui di Senawang dekat sini baru-baru ini.

Menurut Amiratul Nadiah, dia menggunakan platform media sosial Instagram untuk memasarkan roti bawang putih keju ala Korea itu yang menggunakan jenama @pastelspatula.

“Pelanggan suka rasa roti ini yang agak unik iaitu gabungan lemak krim keju dengan bawang putih.

“Selain itu, saya akan pastikan roti ini masih panas ketika diterima oleh pelanggan malah roti dibakar setiap hari bagi memastikan kualiti dan teksturnya tahan lebih lama,” katanya yang mula menjual pastri dan kek secara sepenuh masa sejak Ogos 2020.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata roti bawang putih keju ala Korea itu mula tular sejak tahun lalu tetapi masih diminati ramai sehingga sekarang.

“Dalam sebulan saya menerima lebih 80 tempahan untuk roti viral ini dan pelanggan memberikan maklum balas positif di mana mereka kata rasa roti ini lain lebih daripada yang lain dan lebih sedap berbanding di tempat lain.

“Bagi setiap pek yang mengandungi dua biji roti bawang putih keju ala Korea ini saya jual pada harga RM13 sahaja,” katanya.

Jelas Amiratul Nadiah, selain itu dia turut menerima tempahan membuat bun gulung dan pelbagai jenis kek.

“Syukur dengan sokongan daripada pelanggan, jenama @pastelspatula semakin dikenali di sekitar Seremban dan Negeri Sembilan.

“Kepuasan pelanggan merupakan aspek yang sentiasa saya titik beratkan dan saya sangat menghargai sokongan daripada mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN