IPOH: Remaja lelaki berusia 17 tahun antara empat penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Khas Ambang Merdeka dan Samseng Jalanan di beberapa lokasi di negeri ini malam tadi.
Operasi bermula pukul 11 malam hingga 7 pagi itu dijalankan di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur/ Simpang Pulai dan Kilometer 20, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, empat lelaki berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan setelah disyaki menunggang motosikal secara berbahaya.
Katanya, siasatan ke atas mereka akan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Tangkapan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam kerana kumpulan motosikal itu dikatakan sering berlumba dan membuat bising di kawasan sekitar Jalan Simpang Pulai-Gopeng.
“Tindakan mereka itu bukan sahaja bahaya kepada diri sendiri malah mengganggu ketenteraman penduduk setempat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi itu, sebanyak 143 buah kenderaan diperiksa di mana 63 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan ubah suai kenderaan, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran, ubah suai ekzos dan cermin sisi.
Katanya, enam motosikal disita di bawah Seksyen 64 APJ 9187 atas kesalahan ubah suai kenderaan.
“Sebanyak 10 kompaun juga dikeluarkan ke atas individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tindakan ke atas mereka dijalankan di bawah Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) kerana berkumpul,” katanya.