PEKAN: “Rasa macam bermimpi kerana akhirnya impian untuk memiliki kediaman selesa menjadi kenyataan selepas 16 minggu menunggu,” demikian luahan Mohd. Khanafiah Abu Bakar.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penyerahan kunci kediaman itu di Kampung Tanjung Pulai di sini.
Berkenan berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Kediaman setingkat berkeluasan kira-kira 660 kaki persegi itu adalah antara kurniaan Al-Sultan Abdullah melalui Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada mangsa banjir negeri ini.
Mohd. Khanafiah, 52, berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam pembinaan sejak bulan Februari lalu, selepas kediaman asalnya rosak teruk akibat banjir awal tahun ini.
Dia memaklumkan akan berpindah ke kediaman itu secepat mungkin selepas terpaksa menumpang di rumah saudaranya sejak tujuh bulan lalu.
Selain kediaman Mohd. Khanafiah di Kampung Tanjung Pulai, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyerahkan kunci kediaman kepada seorang lagi penerima, Nur Hasnah Md. Yunos di Kampung Acheh.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa mengunjungi dan mengurniakan sumbangan kepada sembilan keluarga sekitar Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Acheh.
Mereka terdiri daripada keluarga yang kurang bernasib baik dan bekas anggota polis yang mengalami kemalangan ketika bertugas. – UTUSAN