Pusat akhlak Batu Gajah sekali lagi kena PKPD - Utusan Malaysia

Pusat akhlak Batu Gajah sekali lagi kena PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Pemulihan Akhlak di Jalan Brewster, Batu Gajah, Kinta, Perak sekali lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad hingga 21 Ogos ini.

Pusat itu yang dibuka sejak 1902 sebagai Kinta Prison pernah dilaksanakan PKPD dari 14 Februari sebelum disambung sampai 13 Mac lalu dengan merekodkan 457 kes Covid-19.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, turut diwartakan PKPD serentak di negeri itu ialah enam lokaliti di pulau peranginan popular, Pangkor susulan Kluster Kampung Tengah dengan 21 kes.

“Ia membabitkan Taman Seri Pangkor, Taman Desa Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Flat Taman Desa Pangkor, Ladang Kong Heap Lee dan juga punca kluster itu di Kampung Tengah selain Kampung Perlok dan Kampung Perlok Baru, dalam Mukim Sungai, Batang Padang serta tapak pembinaan Horizon, Kinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di Pahang, tiga lokaliti di Temerloh dilaksanakan PKPD iaitu Taman Sri Layang, Taman Tualang Indah dan Taman Rimba di Mentakab serta Kuala Tahan, Jerantut manakala di Sabah, University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan, Kota Kinabalu serta Kampung Lohan 1, Ranau.

Namun kata Hishammuddin, satu lokaliti di negeri itu, Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD sejak 25 Julai lalu disambung hingga 21 Ogos, begitu juga kuarters pekerja ladang Pelitanah 1 dan 2 milik Amalan Pelita Pasai Sdn. Bhd. di Batang Oya-Dalat, Bahagian Mukah di Sarawak yang dilanjutkan sampai 14 Ogos.

Bagaimanapun katanya, 11 lokaliti yang dikenakan PKPD sejak 14 hari lalu akan tamat serentak esok seperti dijadualkan antaranya kawasan Taman Hock Ann di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, selebihnya di Sabah dengan lima lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Sepanggar, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan, Kampung Lokub serta Blok D dan E, Apartment Angkasa.

“Selain itu di Taman Sabana Fasa 1, Keningau; Kampung Kolam, Kudat; Kampung Nagapas, Papar; serta Kampung Berhala dan Kampung Melayu Bumiputera, Sandakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN