PERMATANG PAUH: Seramai 10,000 penduduk di negeri ini akan menerima manfaat hasil sumbangan kira-kira 20,000 dos vaksin Covid-19 secara percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanda solidariti antara kedua-dua kerajaan negeri dalam memerangi pandemik itu ketika ini.
Katanya, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKVAV), seramai 1.14 juta warga Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos iaitu 64.4 peratus daripada populasi keseluruhan manakala sebanyak 55.7 peratus daripada populasi dewasa negeri ini pula telah lengkap divaksin sehingga semalam.
“Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Covid-19 dan memutuskan rantaian penularan pandemik ini, Kerajaan Negeri Selangor pada 19 Ogos lalu telah mengumumkan hasrat untuk meminjamkan stok 500,000 vaksin SelVAX kepada negeri-negeri lain (termasuk Pulau Pinang),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan secara bersama dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, sumbangan tersebut dibuat kerana pihaknya tidak mahu lonjakan kes Covid-19 seperti yang berlaku di Selangor sebelum ini turut berlaku di Pulau Pinang serta beberapa negeri lain yang berisiko.
Pada masa sama katanya, sumbangan dos vaksin itu juga diharap dapat mengurangkan bilangan peningkatan kes positif Covid-19 sekali gus membantu negeri-negeri yang berdepan masalah kelewatan bekalan vaksin.
“Sebagai contoh, dalam tempoh satu bulan selepas program vaksinasi dilakukan secara menyeluruh di Selangor, kita dapati hospital-hospital kita (di Selangor) telah berjaya mengurangkan jumlah katil iaitu daripada 130 peratus kepada sekitar 88 peratus katil sahaja.
“Ini bermakna, kita telah capai jumlah penurunan hampir 50 peratus berbanding sebelum ini,” jelas beliau.