Pulau Pinang sedia kerjasama dengan kerajaan baharu atasi kemelut kesihatan, ekonomi - Utusan Malaysia

Pulau Pinang sedia kerjasama dengan kerajaan baharu atasi kemelut kesihatan, ekonomi

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama dalam menjayakan pendekatan ‘Bersepakat Selamatkan Keluarga Malaysia’ yang menjadi pegangan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob khususnya dalam membawa negara segera keluar daripada kemelut kesihatan serta ekonomi kini.

Ke arah itu kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, kerajaan negeri mengemukakan beberapa isu untuk pertimbangan lanjut Perdana Menteri yang turut diutuskan menerusi surat rasmi hari ini.

Antaranya jelas beliau, berkenaan kekangan bekalan vaksin yang dihadapi Pulau Pinang yang perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian yang memerlukan perhatian.

Malah jelasnya, gangguan bekalan vaksin Pfizer pada minggu kedua bulan ini turut memberi impak kepada pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta janji temu secara keseluruhan.

“Sebagaimana dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 6 Ogos lalu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung penambahan bekalan 500,000 dos vaksin, Pulau Pinang hanya memperoleh penambahan bekalan sebanyak 210,000 untuk bulan ini.

“Justeru, sudah tiba masanya tumpuan turut diberikan kepada keperluan negeri-negeri di luar daripada program Greater Klang Valley (GKV) demi meningkatkan kadar vaksinasi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Setakat semalam, Pulau Pinang mencatatkan pencapaian suntikan dos pertama sebanyak 77.5 peratus manakala dos kedua (45.4 peratus) bagi peratusan populasi dewasa.

Sementara itu, Kon Yeow turut berharap kemudahan dan kelengkapan perubatan di Pulau Pinang dipertingkatkan pada kadar segera termasuk penubuhan pusat-pusat perubatan perlu diberikan perhatian khusus.

Jelasnya, ia termasuk keperluan logistik para pesakit dan juga personel perubatan, bekalan makanan dan lain-lain keperluan berkaitan.

Dalam pada itu tambah beliau, kerajaan negeri turut berharap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19 dapat dikemas kini, dipermudahkan serta diselaraskan.

Jelasnya, rantaian penularan kes Covid-19 dapat dicegah dengan lebih berkesan sekiranya prosedur sedia ada dikemas kini khususnya bagi kes-kes positif yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Bilik Gerakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN