KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemuda yang dipercayai lemas di Sungai Cerul berhampiran Kampung Lubuk Batu di sini berdepan kesukaran kerana terdapat banyak pukat dan mata kail di bahagian dasar.
Timbalan Pengarah Bomba negeri, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata, keadaan itu sekali gus menyukarkan pergerakan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) untuk mengesan Mohamad Shafiq Ab Llah, 20, dari Felda Cerul 1.
Katanya, selain peralatan menangkap ikan, keadaan air yang berbentuk pusaran dan berarus turut menambah lagi halangan hingga memaksa penyelam mencari mangsa beberapa kali di kawasan sama.
“Operasi diperluas hingga dua kilometer manakala pencarian di dasar membabitkan 50 meter di samping turut menggunakan khidmat dua anjing pengesan unit K9 bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam, Mohamad Shafiq dikatakan ke sungai berkenaan untuk menjala ikan bersama tiga rakannya yang berusia antara 13 hingga 20 tahun, namun mangsa dihanyutkan arus deras ketika cuba berenang melintasi sungai berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat yang bermula sejak petang semalam turut dibantu lebih 40 pegawai dan anggota bomba dan polis di samping beberapa penduduk kampung.
Mohd. Khairiri bagaimanapun percaya, mangsa masih berada di sekitar lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.










