Puad Zarkashi diminta tidak jadi batu api, hentikan percakaran - Utusan Malaysia

Puad Zarkashi diminta tidak jadi batu api, hentikan percakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi diminta tidak menjadi batu api dalam parti, sebaliknya berusaha keras bagi membantu UMNO memulihkan kepercayaan rakyat sekali gus mampu mentadbir semula negara ini.

Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Zulkepli Omar berkata, kepimpinan di semua peringkat dan ahli akar umbi sepatutnya mengetepikan persengketaan dan percakaran sesama sendiri dengan cuba mencari peluang sebanyak mungkin untuk menang pilihan raya umum akan datang.

Justeru kata beliau, adalah lebih elok sekiranya Mohd. Puad memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana UMNO amat memerlukan kapasiti jawatan itu membantu parti demi menjaga rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita sepatutnya bertolak-ansur dan bekerjasama antara satu sama lain, dalam situasi sekarang, sekiranya UMNO bercakaran sesama sendiri sudah pasti kepercayaan rakyat sudah tidak ada kepada UMNO.

“Maka sebab itu saya amat berharap agar UMNO kembali bersatu dan buang persengketaan sesama kita dan fokus membantu rakyat dalam situasi yang amat memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkepli turut kecewa dengan sikap Mohd. Puad yang banyak menghentam ramai pihak dan menganggap semua orang tidak betul, sedangkan beliau tidak perlu membuat perbandingan sebegitu atau mengambil apa-apa pendirian secara bersendirian.

Sebaliknya beliau berkata, setiap orang dalam parti sepatutnya memberi fokus apa yang lebih penting untuk didahulukan dan mengetepikan apa yang tidak mendatangkan kebaikan.

“Bermakna, percakaran sesama kita, kita belakangkan. Kita fokus membela rakyat, itu yang penting bagi saya, jangan khianati parti dan meletakkan kepentingan parti paling utama,” katanya.

Mohd. Puad dalam kenyataan hari ini berkata, Ismail Sabri tidak boleh melangkaui kepemimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan kerana dalam kedudukan parti, beliau adalah Naib Presiden dan bukannya Presiden, Timbalan Presiden atau Pengerusi BN sekali pun.

Katanya, jawatan TPM yang disandang Ismail Sabri bukan tiket untuk ‘bulldoze’ Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebaliknya perlu mendapat persetujuan Presiden UMNO jika membabitkan soal parti.

Mohd. Puad berkata demikian sebagai mengulas pertemuan Ismail Sabri dengan 40 Ahli Parlimen BN di Parlimen pada Khamis lalu berhubung sokongan untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN