Prosedur tunai umrah sedang dimuktamadkan - Utusan Malaysia

Prosedur tunai umrah sedang dimuktamadkan

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Musaadah kepada asnaf di Masjid Sultan Abu Bakar Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Prosedur dan syarat menunaikan umrah tahun ini akan diuar-uarkan kepada umum setelah dimuktamadkan bersama Duta Arab Saudi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbincangan telah diadakan bersama Duta Arab Saudi yang mengunjunginya baru- baru ini, tetapi keputusan belum dimuktamadkan.

“Insya-Allah dari semasa ke semasa apabila mendapat syarat nyata akan diumumkan kepada masyarakat.

“Ketika ini pihak kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengumpul sebanyak mungkin maklumat penting berkaitan sebelum proses kebenaran umrah,” katanya kepada pemberita selepas program Bantuan Musaadah 2021 di Masjid Sultan Abu Bakar, Kampung Janda Baik, di sini hari ini.

Sebanyak 100 kotak barangan keperluan harian sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada asnaf dan RM5,000 kepada pentadbiran masjid berkenaan.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh.

Lebih 20,000 jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi bakal menunaikan umrah bermula hari ini  dan negara itu sudah bersedia menyambut kedatangan mereka.

Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saeed berkata, kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Antara negara yang dilarang masuk ke Arab Saudi adalah India, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan.

Zulkifli berkata, isu berkenaan perlu dilihat secara keseluruhannya termasuk membabitkan visa pelancongan dan  visa umrah.

“Jadi kemungkinan kita lihat lebih dekat visa pelancongan dan umrah disekalikan agar tidak timbul masalah ketika buat mengerjakan umrah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kebenaran menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau kepada individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 satu perkembangan yang menggembirakan.

Menurutnya, secara jujurnya beliau gembira rakyat dapat mengimarahkan semula masjid walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya