GEORGETOWN: Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah mendedahkan projek tersebut boleh mencemarkan Sungai Muda dan menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, adalah lebih bijak untuk memindahkan projek besar itu ke tempat yang lebih selamat serta jauh dari tebing Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang dan selatan Kedah.
Jelas Jaseni, ini kerana sebarang kecelakaan yang melibatkan Sungai Muda pasti mengakibatkan bencana bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah.
“Lokasi cadangan Lapangan Terbang Kulim tidak sesuai kerana lokasinya di sepanjang tebing Sungai Muda menimbulkan risiko langsung dan tidak perlu untuk operasi bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah.
“Kerja-kerja pembinaan berskala besar di sepanjang 14 kilometer tebing sungai Sungai Muda merupakan ancaman jangka pendek hingga sederhana terhadap bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan fasa pertama projek KXP yang bernilai RM6 bilion dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat.
KXP dijangka memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau sekali gus menjadi ‘game changer’ kepada kemajuan ekonomi negeri ini serta beberapa negeri berjiran di utara tanah air.
Menurut Jaseni, operasi jangka panjang lapangan terbang dan bandar lapangan terbang, aerotropolis serta komponen pembangunan lain dari projek KXP akan mewakili ancaman jangka panjang terhadap kelestarian perkhidmatan bekalan air yang baik di Pulau Pinang dan selatan Kedah.
Katanya, PBAPP tidak membantah cita-cita Kedah meneruskan projek lapangan terbang antarabangsa baharu yang diharapkan dapat membawa pelaburan swasta bernilai RM3.8 bilion.
Jelas beliau, jumlah pelaburan itu dijangka dapat memberi suntikan kepada ekonomi tempatan dengan penyediaan pekerjaan dan infrastruktur.
“Bagaimanapun, lapangan terbang tidak boleh dibina di lokasi yang meletakkan risiko tinggi kepada perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah ketika ini dan masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP juga tidak dirunding atau diminta memberi maklum balas mengenai potensi risiko dan impak negatif dari projek KXP berhubung perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.
“Ini agak pelik kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah berunding dengan PBAPP mengenai penilaian EIA untuk cadangan kilang kertas teknologi hijau yang terletak di sepanjang tebing Sungai Muda,” katanya.