PPV Tanjong Karang bakal ditutup - Utusan Malaysia

PPV Tanjong Karang bakal ditutup

NOH Omar menyantuni penerima vaksin yang hadir di PPV Institut Pertubuhan Peladang, Tanjong Karang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Tanjong Karang di sini, mengalu-alukan kedatangan penduduk tempatan atau dari kawasan lain yang belum mendapat tarikh janji temu, hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara walk-in.

Kemudahan itu diberikan susulan senarai janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, kini tinggal berbaki 33,526 orang yang hanya menunggu untuk hadir bagi mendapatkan dos kedua di PPV berkenaan, sementara daripada 62,247 penerima hadir, sebanyak 28,721 sudah menerima dos lengkap.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang memberitahu, PPV itu akan ditutup pada 22 Ogos (Ahad) ini selepas kadar imuniti kelompok dan jumlah penerima berdaftar sudah menerima dos lengkap.

“Alhamdulillah dengan kerjasama yang cukup baik, kita berjaya mencapai satu hari sampai 1,600 penerima, lebih daripada apa yang kita sasarkan. Dalam masa sama, saya ingat lebih kurang dalam 40,000 dos sahaja mungkin boleh digunakan di sini, tetapi Alhamdulillah sehingga hari ini, kita dapat 62,000 dos.

“Oleh kerana matlamat kita sudah tercapai, saya dimaklumkan bahawa PPV ini akan ditutup pada 22 Ogos (Ahad). Oleh itu saya hendak menyeru kepada penduduk khususnya di Tanjong Karang atau penduduk di tempat lain datanglah ke sini, dalam tempoh satu minggu ini saya alu-alukan,” katanya ketika ditemui ketika melawat PPV itu hari ini.

Beliau menambah, kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Kuala Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diteruskan bagi melaksanakan program berkaitan termasuk siar raya serta outreach di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor memaklumkan, daerah Kuala Selangor menjadi daerah kedua selepas Sepang apabila 103 peratus penduduk sudah menerima vaksin.

“Dalam Selangor, kalau kita tengok laporan mengikut daerah yang saya lihat capai 140 peratus vaksinasi ini Sepang, tetapi kawasan itu penduduknya lebih ramai yang dapat. Tetapi, kedua adalah Kuala Selangor, ada 103 peratus yang sudah tercapai. Kalau ikut penduduknya lebih kurang dalam 127,000 penerima vaksin lengkap dua dos.

“Anggaran penduduk yang berumur lebih 18 tahun, itu yang kita sasar sekarang dalam Kuala Selangor dianggarkan 179,000 tetapi kita memberikan dos pertama kepada seramai 185,123 penduduk. Untuk dos kedua, kita capai 127,744 orang yang mana dianggarkan 71.36 peratus daripada bilangan penduduk yang kita sasarkan ini menerima dos lengkap,” jelasnya.

Beliau yakin di Kuala Selangor termasuk kawasannya di Tanjong Karang mampu capai sehingga 90 peratus penduduk menerima vaksin pada hujung bulan ini apabila baki terkini sebelum mencapai imuniti kelompok tinggal kurang daripada 10 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN