BATU KAWAN: Penduduk negeri ini tidak perlu bimbang atau panik dengan penutupan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam hari ini berikutan terdapat gangguan bekalan vaksin Pfizer ke negeri ini bermula Khamis lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana penutupan itu hanya sementara iaitu sehari manakala penerimaan vaksin baharu dijangka tidak lewat seminggu akan datang.
“Kita kurang dalam lingkungan 20,000 lebih (dos) sahaja dan ia mungkin melibatkan beberapa ribu penerima (yang terjejas) ketika ini.
“Apapun, saya pasti ia tidak menjejaskan pelaksanaan program (vaksinasi) ini secara keseluruhannya kerana hanya empat PPV awam ini sahaja yang terlibat manakala (operasi di) PPV yang lain berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan untuk program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo di Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan negeri menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan, empat PPV tersebut ialah di Kompleks Sukan Balik Pulau di daerah Barat Daya; Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (Barat Daya); Tapak Pesta di Sungai Dua (Timur Laut) dan Dewan Millenium (Seberang Perai Utara).
Susulan gangguan bekalan vaksin Pfizer itu juga, penerima dos dua vaksin Pfizer yang telah dijadualkan antara hari ini hingga 19 Ogos dipinda ke tarikh baharu iaitu antara 22 hingga 26 Ogos ini.
Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu, sehingga semalam, seramai 37,104 orang telah berdaftar untuk mengikuti program PSC-19 di 38 buah lokasi di seluruh negeri. – UTUSAN ONLINE