PETALING JAYA : Polis belum memperoleh tarikh sesuai untuk mengambil keterangan aktivis kemanusiaan, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Memberitahu Utusan Online, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, polis telah berhubung dengan mereka bagi menetapkan tarikh berhubung proses berkenaan.
“Setakat ini, kita belum mendapat tarikh untuk merakam percakapan kedua-dua mereka,” katanya ringkas.
Terdahulu, Ashari dalam satu kenyataan memberitahu, keterangan mereka akan dilakukan secara dalam talian.
Kata beliau, keterangan itu diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung laporan yang dilakukan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu pejabat Polis Daerah(IPD) Dang Wangi.
Dalam pada itu, kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, pendakwah terkenal, Ebit Lew membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadap beliau menerusi laman sosial baru-baru ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Laporan polis dibuat selepas beliau menerima tuduhan yang tidak berasas dari beberapa individu.
Dalam laporan polis itu juga, beberapa nama individu termasuk ketua pegawai eksekutif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan penyanyi rap Caprice turut dinyatakan. – UTUSAN ONLINE










