KAMPAR: Seorang penyelia bersama sembilan pekerja warga asing yang memakai gelang merah jambu ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis pembekal dan pembungkusan sayur di Kawasan Perindustrian Gopeng, dekat Gopeng semalam.
Penyelia warga tempatan berusia 32 tahun dan pekerja berusia antara 25 tahun hingga 40 tahun itu diberkas dalam Ops Covid/Op Patuh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, ketika tangkapan dibuat, kesemua mereka yang memakai gelang merah jambu sedang bekerja.
Katanya, semakan pada gelang tersebut mendapati penyelia dan pekerja terlibat masih dalam tempoh kuarantin bermula 18 hingga 27 Ogos.
“Siasatan mendapati penyelia premis telah mengarahkan sembilan pekerja lelaki warga asing yang tinggal di aras dua premis berkenaan untuk datang bekerja pada pukul 8 pagi.
“Perintah kuarantin ke atas mereka telah dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan dipakaikan gelang tersebut kelmarin,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, tangkapan dibuat terhadap penyelia premis bersama sembilan yang lain kerana melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE