Polis tahan dua lelaki pecah tabung masjid, surau - Utusan Malaysia

Polis tahan dua lelaki pecah tabung masjid, surau

BARUDIN WARISO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Polis mematahkan kegiatan mencuri wang tabung masjid, surau dan premis perniagaan di sekitar daerah Perak Tengah selepas menahan dua lelaki pada Khamis dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Barudin Wariso berkata, dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun itu ditahan, di lokasi berasingan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang juga penganggur itu melakukan kegiatan berkenaan secara berasingan dan sendirian.

“Suspek pertama berusia 19 tahun melakukan perbuatan berkenaan di enam buah masjid, sebuah surau dan empat premis perniagaan di Seri Iskandar, Bota dan Kampung Gajah.

“Dia juga mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, seorang lagi lelaki berusia 24 tahun pula terlibat dalam mencuri wang tabung di lima masjid dan sebuah surau di sekitar Bota dan Seri Iskandar.

“Dia mempunyai 10 rekod kesalahan membabitkan kes samun dan dadah.

“Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut Barudin, polis akan memohon perintah sambung reman terhadap kedua-dua lelaki itu hari ini susulan reman mereka tamat semalam bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN