IPOH: Polis Perak tidak akan meluluskan mahupun menyokong sebarang permohonan konvoi kenderaan oleh individu dan kumpulan atas sebarang tujuan sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketetapan itu dibuat kerana kebimbangan aktiviti berkenaan akan menyebabkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan tiada penjarakan fizikal.
“Selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Perak turut mengambil pendekatan serupa untuk tidak menyokong dan meluluskan permohonan konvoi kenderaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak merancang atau memohon untuk melakukan sebarang aktiviti konvoi sepanjang tempoh PPN sehingga dibenarkan berbuat demikian.
“Kerjasama daripada orang ramai amat diperlukan dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini khususnya di Perak,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai juga dinasihatkan agar mengelak daripada menyertai sesi perjumpaan di lokasi-lokasi tumpuan serta mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama di negeri-negeri fasa satu dan dua PPN.
“Kita akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang dikuatkuasakan dan akan mengenakan kompaun kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhi ketetapan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE