SEMPORNA: Seorang anggota tentera ditemukan maut manakala seorang lagi dilaporkan hilang ketika bertugas di Pos Gabungan PDRM-ATM, Pulau Mataking, di sini, semalam.
Mangsa yang maut Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, manakala mangsa yang hilang
Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kedua-dua anggota tentera daripada Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) yang sedang menjalankan Operasi PASIR Sektor Semporna Siri 3/2025 di Pulau Mataking, didapati tidak berada dalam barisan semasa semakan rutin.
Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berkata, susulan kejadian itu, pencarian digerakkan dengan bantuan semua anggota tentera di lokasi sebelum mendapatkan bantuan bot daripada pihak resort berhampiran.
“Hasil pencarian di sekitar pulau menemukan salah seorang anggota dalam keadaan tidak sedarkan diri, pukul 7.25 malam.
“Bantuan perubatan segera diberikan oleh pegawai perubatan resort melalui prosedur bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
“Kejadian dipercayai berpunca daripada insiden lemas, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.










