Polis nafi tiada tindakan terhadap anak ADUN Sri Tanjung

Polis nafi tiada tindakan terhadap anak ADUN Sri Tanjung

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak mengambil tindakan ke atas anak Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang terlibat dalam kes samun di Port Dickson seperti tular dalam media sosial Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis telah mengesan satu hantaran dalam laman sosial Facebook penama Che’GuBard Original pada pukul 11 malam semalam berhubung perkara itu.

“Hantaran itu menulis ‘Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib bertindak atas wujud laporan polis ke atas anak Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi. Tiga laporan polis turut dimuat naik dalam hantaran tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Ravi juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung.

Menurut Aidi Sham, antara yang dimaklumkan adalah pada tahun 2013, anak kepada Ravi telah terlibat dalam satu kejadian samun di Pantai Sea View Port Dickson. 

“Semakan yang dibuat oleh pihak polis terdapat satu laporan polis yang diterima pada 13 April 2013 oleh seorang mangsa berumur 31 tahun mengatakan telah disamun oleh sekumpulan lelaki di sebuah pondok di Pantai Seaview Port Dickson,” katanya.

Jelas Aidi Sham, dalam kes tersebut seramai tujuh orang lelaki berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun telah ditahan. 

“Salah seorang daripada suspek merupakan anak kepada Ravi. Pihak polis telah merujuk kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan tiada keterangan yang cukup untuk dibuat pertuduhan terhadap tangkapan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis menafikan sekerasnya bahawa mereka tidak mengambil tindakan ke atas laporan tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang penyebaran berita yang tidak benar atau sebarang kenyataan media sosial yang boleh mengelirukan awam.

“Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN