PETALING JAYA: Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan akan menghubungi semula aktivis kemanusiaan, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman untuk merakam percakapan.
Beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya sedia maklum mengenai hantaran yang dimuat naik Caprice di laman sosial miliknya tadi.
“Kita akan berhubung dengan mereka untuk tetapkan masa dan tarikh merakam percakapan.
“Setakat ini, hanya Caprice yang memberi memberi maklum balas mengenai perkara ini menerusi hantaran berkenaan. Nadir belum beri sebarang maklum balas lagi,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Caprice memuat naik satu hantaran di laman sosial Instagram (IG) miliknya memaklumkan nombor telefon yang digunakan olehnya.
Hantaran terbabit ditujukan kepada sesiapa termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu berhubung dengannya.
Difahamkan, hantaran dibuat selepas kenyataan pihak polis memohon bantuan Interpol untuk berhubung dengannya bagi merakam percakapan.
Permohonan itu dilakukan selepas pihak polis menghubungi Caprice dan Muhammad Nadir melalui e-mel namun gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua mereka. – UTUSAN ONLINE