KOTA BHARU: UMNO Kelantan menyifatkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai satu bentuk penderhakaan yang nyata.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kenyataan Istana Negara mendedahkan Seri Paduka belum memperkenan pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana didakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dalam Dewan Rakyat, 26 Julai lalu.
Kenyataan tersebut juga kata beliau, jelas menunjukkan Seri Paduka menitahkan supaya semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di dalam Parlimen sebagaimana diperuntukkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka merupakan satu bentuk penderhakaan yang nyata, sehinggakan Yang di-Pertuan Agong sendiri terpaksa mengeluarkan warkah khas bagi menjelaskan lagi kronologi dan justifikasi pendirian kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, kenyataan berbaur angkuh dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri bagi menjawab kenyataan Istana Negara juga menyerlahkan lagi sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.
“Penutupan Parlimen atas alasan diserang Covid-19 menyerlahkan sikap Kerajaan PN yang sanggup mempermain dan meremehkan sistem demokrasi berparlimen. Ini satu lagi tindakan derhaka terbaru oleh PN, sedangkan Seri Paduka sudah bertitah lebih daripada tiga kali mengenainya.
“Justeru, UMNO Kelantan berpendirian tegas mendesak Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Selaku ketua kerajaan PN, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas penderhakaan yang dilakukan.
“UMNO Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan dan membela Yang di-Pertuan Agong selaras dengan asas-asas dan matlamat perjuangan UMNO yang diperuntukkan dalam Fasal 3.2 Perlembagaan UMNO,” katanya.