PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) yang didukung 50 ahli Dewan Rakyat bersama tiga ahli Dewan Rakyat Bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited menyokong dasar dan perancangan Kerajaan PN menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), mengutamakan kebajikan rakyat serta menjamin kelangsungan negara.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pagi tadi dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara.
“Mesyuarat berkenaan juga membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara dan mendengar serta mengambil maklum semua pandangan dari parti-parti komponen bagi memperkukuh kerjasama politik.
“Ini termasuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, mesyuarat itu dihadiri semua ahli Majlis Tertinggi termasuk presiden parti-parti komponen iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Yang turut hadir Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta wakil-wakil dari parti komponen. – UTUSAN ONLINE