PETALING JAYA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengakui tidak sabar untuk bertemu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.
Beliau yang menghubungi Ismail Sabri untuk mengucapkan tahniah selepas dilantik menyifatkan, hubungan mereka berdua penting demi kepentingan bersama.
“Malaysia dan Singapura menikmati hubungan yang erat dan mesra dalam pelbagai aspek. Kami mempunyai banyak kepentingan bersama dan masyarakat kami mempunyai hubungan keluarga di seberang sempadan. Selama bertahun-tahun, kami sering bekerja keras untuk menghadapi cabaran bersama, termasuk dalam wabak ini.
“Ismail Sabri mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Khas Singapura-Malaysia untuk Covid-19 dengan Menteri Senior, Teo Chee Hean bagi mengawasi pergerakan individu dan barang yang berterusan di seberang sempadan kita,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi miliknya.
Justeru, dengan banyak pengalaman Ismail Sabri dalam perkhidmatan awam dan kerajaan, beliau yakin hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura terus berkembang.
“Saya menjemput Ismail Sabri melawat Singapura tidak lama lagi. Saya tidak sabar bertemu dengannya untuk membincangkan bagaimana kita boleh saling bekerjasama untuk menjalin persahabatan dengan lebih erat dan memperluas kerjasama antara satu sama lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE










