Perdana Menteri pulang ke kawasan santuni rakyat - Utusan Malaysia

Perdana Menteri pulang ke kawasan santuni rakyat

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra ketika menyampaikan sumbangan kepada Asmah Abu Bakar di kediamannya di Batu 23, Lenga, Pagoh, di Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Disebalik kemelut politik yang melanda, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini pulang ke kawasan Parlimennya di Pagoh bagi bertemu dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk kawasan berkenaan.

Muhyiddin yang tiba di lokasi pertama kira-kira pukul 3 petang itu berkesempatan mengagihkan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada tujuh penduduk terjejas selain golongan yang menghidapi masalah kesihatan.

Terdahulu, kehadiran beliau bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut dengan iringan selawat oleh sebahagian penduduk sebelum memulakan sesi penyerahan bantuan kepada penerima.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkesempatan meluangkan masa kira-kira 45 minit sebelum bergerak ke Felda Batu 27, di sini.

Sementara itu, seorang pesakit kencing manis yang menderita bengkak kaki, Asmah Abu Bakar, 71, menghargai bantuan diterima berupa barang keperluan dapur serta tongkat.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis sejak lebih 20 tahun bersyukur kerana bantuan berkenaan dapat membantu kelangsungan hidupnya selain memudahkan dia untuk bergerak.

“Saya kini disara oleh seorang anak yang masih bujang, Zainal Jantan berusia 49 tahun. Sebelum ini, dia bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan lebih RM2,000 sebulan, namun sejak pandemik, dia hanya membantu di kebun milik orang lain dan memperoleh upah sekitar RM700.

“Alhamdulillah, hari ini makcik terima bantuan bakul prihatin termasuk tongkat yang dapat membantu makcik bergerak dengan lebih mudah,” katanya.

Muhyiddin kemudiannya mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dataran Felda Batu 27, Lenga serta menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Maokil di lokasi sama sebelum meneruskan program ziarah dan agihan sumbangan kepada seorang warga emas, Ismail Simat di situ.

Pada esok (Jumaat), beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dijadual akan meneruskan penyampaian sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada penghulu-penghulu mukim dan keluarga yang sedang menjalani kuarantin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Pagoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN