KUANTAN: Perdana Menteri baharu diharap seorang yang mempunyai imej antarabangsa yang baik, tidak ada skandal peribadi dan tuduhan korupsi.
Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, Perdana Menteri baharu juga perlu memahami selok-belok ekonomi dan paling penting mendapat penghormatan dari kakitangan kerajaan.
“Insya-Allah jika kriteria-kriteria ini ada pada seorang pemimpin negara, saya yakin satu imej pembaharuan dapat kita laksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam surat rasmi kepada semua 220 ahli Parlimen memaklumkan setiap anggota Dewan Rakyat perlu menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Surat akuan itu juga perlu melengkapkan butiran yang disenaraikan antaranya meletakkan hanya satu calon Perdana Menteri, tanda tangan anggota Dewan Rakyat, cap rasmi saksi dan tarikh surat akuan.
Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka.
Perkembangan itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.
Tengku Azlan yang kembali menyertai UMNO selepas meletakkan jawatan dari Bersatu berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada Jumaat ini akan membuat keputusan memilih dan melantik Perdana Menteri baharu.
“Saya percaya Seri Paduka akan melantik seorang yang berwibawa dan memahami tentang senario suasana dalam negara ketika ini,” katanya.