Perak jangka capai imuniti kelompok Oktober - Utusan Malaysia

Perak jangka capai imuniti kelompok Oktober

SAARANI Mohamad ketika sesi soalan lisan pada sidang DUN di Ipoh, Perak, hari ini. - IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak bakal mencapai imuniti kelompok iaitu sehingga 80 peratus penduduk  menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Oktober ini dengan proses suntikan keseluruhan dijangka selesai  November ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, jangkaan itu bagaimanapun tertakluk kepada bekalan vaksin yang diterima kerajaan negeri melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, sehingga kelmarin, jumlah orang dewasa yang menerima dos pertama ialah 1,118,358 orang atau 60.04 peratus manakala 797,317 orang atau 42.81 peratus lengkap menerima dos kedua.

“Bagi mempercepat proses vaksinasi kepada kawasan berkepadatan tinggi, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang sedia ada dinaik taraf kepada kapasiti harian yang lebih tinggi di samping mewujudkan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dan melaksanakan program jangkauan komuniti atau ‘mobile outreach’.

“Sehingga 24 Ogos lalu, terdapat 22 PPV awam, PPV pandu lalu (6), PPV bergerak (14), PPV khas (8), PPV Integrasi (1), PPV NGO (1), PPVinstitut pendidikan tinggi (1), PPV hospital swasta (15), PPV pengamal perubatan (150) dan PPV Pikas (8).

“Kesemua PPV itu mencatatkan kapasiti suntikan harian antara 40,000 hingga 45,000 sehari dengan rekod menunjukkan pencapaian tertinggi pemberian vaksin di Perak adalah sebanyak 39,998 orang, semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang) ketika sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN