KUANTAN: Jabatan Imigresen menahan seorang penjawat awam kerana dipercayai menjadi bapa ayam dengan melindungi 11 wanita warga asing di Lorong Galing Taman Imbi di sini, semalam.
Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an berkenaan ditahan bersama wanita warga asing dalam Operasi Patuh yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen di dua buah rumah sewa di Taman Imbi, di sini.
Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, wanita warga asing terbabit didapati melakukan beberapa kesalahan antaranya masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
Katanya siasatan mendapati dua buah rumah sewa itu dijadikan tempat tinggal mereka yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
“Ketika pemeriksaan bermula pukul 5 petang hingga 7.30 malam itu turut menemukan minuman keras di ruang tamu rumah,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, Operasi Patuh berkenaan disertai 21 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Pahang yang diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Jeffri Nasir
Dalam pada itu katanya, kesemua wanita warga Thailand berkenaan dibawa ke Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
Katanya, penjawat awam terbabit pula disiasat di bawah Seksyen 56(1) (d) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kerana sengaja memberi perlindungan kepada orang yang diketahui melanggar peruntukan Akta Imigresen.
“Jabatan Imigresen Pahang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tampil menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya membabitkan kesalahan di bawah Akta Imigresen,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE