PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi lebih bantuan serta kemudahan kepada peniaga bukan sektor makanan terutamanya dari segi pemberian modal dan lesen perniagaan.
Setiausaha Persatuan Peniaga Melayu Taman Desa Cemerlang (PPMTDC), Nasser Mohd. Yusof berkata, ini melibatkan sektor percetakan, pakaian serta kedai gunting rambut.
“Kebanyakan mereka terpaksa berhutang dengan pelbagai agensi pinjaman malah ada yang berhutang dengan ceti haram bagi menampung modal pusingan dan simpanan perniagaan kerana terpaksa ditutup lebih tiga bulan lalu.
“Ahli persatuan kami ada seramai 90 orang dan hanya 15 peratus daripadanya menjalankan perniagaan cetakan, kedai pakaian dan kedai gunting.
“Walaupun jumlah ahli tidaklah begitu ramai berbanding persatuan lain, namun mereka adalah golongan yang amat terkesan ketika ini.
“Berbanding peniaga kedai makan, mereka diarahkan tutup perniagaan sepenuhnya dalam tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, persatuan amat mengharapkan bantuan kerajaan terutamanya dari segi permulaan modal atau pemberian lesen tanpa banyak syarat.
“Walaupun sebelum ini pelbagai inisiatif diberikan, dari segi permohonan lesen dan tapak perniagaan, kami masih menghadapi masalah sama terutama dari segi kelayakan serta dokumen yang pelbagai.
“Jadi kerajaan perlu beri fokus kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Terdahulu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menganggarkan lebih 53 peratus atau kira-kira 450,000 usahawan Melayu daripada keseluruhan 960,000 yang berdaftar dengan SME Corp. terjejas dan tak akan mampu bertahan lebih dua bulan tanpa bantuan kerajaan.
Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif dalam usaha membantu peniaga kecil.
“Apa yang diperlukan adalah memudahkan peniaga dapatkan lesen perniagaan tanpa letak pelbagai syarat yang hanya akan merumitkan,” katanya.