Pendakwaan terhadap Guan Eng: MoU tidak nyatakan projek terowong melalui tender terbuka - Saksi - Utusan Malaysia

Pendakwaan terhadap Guan Eng: MoU tidak nyatakan projek terowong melalui tender terbuka – Saksi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Mesyuarat Exco Pulau Pinang pernah dimaklumkan bahawa projek terowong dasar laut di negeri itu akan diberikan kepada sebuah syarikat mega dari China melalui tender terbuka.

Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, dua perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) pada 2011 sebaliknya tidak menyatakan projek terowong dasar laut di negeri itu akan dilaksanakan melalui tender terbuka.

Jelas saksi pendakwaan ketiga itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebaliknya berkali-kali memaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bahawa projek mega itu akan diberikan secara tender terbuka.

Menurut saksi pendakwaan ketiga itu, daripada 60 syarikat yang menyatakan minat untuk terlibat dalam projek berkenaan, lapan disenaraikan layak melaksanakan projek itu.

Jelas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bagan Jermal itu, dalam salah satu mesyuarat yang dihadirinya, beliau memaklumkan walaupun BUCG sebuah syarikat terkenal dan banyak mengendalikan projek mega di China, belum tentu ia akan dipilih melaksanakan projek di negeri itu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Hock Seng menyatakan, tiga mesyuarat yang dihadirinya membayangkan tidak semestinya BUCG dilantik sebagai kontraktor projek berkenaan.

Menurutnya, delegasi Pulau Pinang telah menyertai rombongan lawatan ke Beijing selepas menerima jemputan rasmi untuk melihat projek mega yang dilaksanakan oleh BUCG.

Menurutnya, lawatan itu dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri bagi mengelakkan salah faham kerana tidak semestinya syarikat asing itu akan mendapat projek berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun selepas MoU dimeterai, projek itu diberikan kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang merupakan syarikat usahasama dengan BUCG.

Saksi berkata, beliau kemudian bertemu dengan bekas Pengarah CZBUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan memaklumkan pertemuannya kepada MMK negeri.

Katanya, MMK negeri yang dipengerusikan oleh Guan Eng kemudian mengarahkan satu kertas kerja cadangan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu dikemukakan untuk pertimbangan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng, 60, atas tuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau turut didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini.

Beliau didakwa mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn. Bhd. (Ewein Zenith).

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn. Bhd. (Zenith Urban).

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya