PETALING JAYA: Keputusan penangguhan pemilihan UMNO seperti diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti didapati telah dilakukan secara teratur.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang diterima daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Jasri Karim, lewat petang tadi.
“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang saya dan peguam UMNO berikan pada 9, 11, 18 Ogos dan beberapa keterangan ahli MT pada 24 Ogos didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, RoS memutuskan keputusan MT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
RoS berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun lalu.
Jelas RoS, UMNO perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada RoS dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pemilihan jawatan MT, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.
Walaupun begitu, katanya, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran satu perempat korum masih perlu diadakan pada tarikh dalam tahun ini.
“Tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian,” jelas beliau.
Selain itu, Ahmad merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, naib-naib presiden dan ahli MT kerana memberikan panduan berhubung kemelut yang berlaku tersebut.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO serta ahli yang sabar dan tabah melalui episod yang berlaku ini.
“Terima kasih kepada Ketua Pengarah RoS dan pegawainya yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang semakan dan pertemuan kami,” katanya.










