Blok pembangkang kesal sidang DUN Melaka tangguh

Pembangkang kesal sidang DUN Melaka tangguh

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Blok pembangkang menyatakan kekesalan selepas kerajaan negeri menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang sepatutnya berlangsung 6 September kepada 20 September depan.

Ketua Pembangkang, Adly Zahari berkata, ini kerana barisan AhlI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan sebanyak 110 soalan lisan dan 165 soalan bertulis kepada Urusetia DUN yang merangkumi pelbagai isu semasa.

Katanya, penangguhan itu menjejaskan peluang semua pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai pengurusan Covid-19, program vaksinasi serta perancangan kerajaan negeri mengenai penjanaan ekonomi rakyat di kala pandemik dan pasca Covid-19 serta pelan pemulihan ekonomi dan fasa-fasa dirancang.

“Khususnya isu berkaitan kesihatan seperti pengurusan Covid-19 dan program vaksinasi, serta isu-isu berkaitan ekonomi, pendidikan dan kebajikan.

“Tindakan kerajaan negeri menangguhkan Persidangan DUN Melaka yang dijadualkan pada 6 hingga 9 September kepada 20 September amatlah dikesali.

“DUN sepatutnya menjadi wadah untuk perbincangan dan perbahasan serta menggembleng usaha semua pihak dalam menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Melaka masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dijangka beralih ke Fasa Dua pada awal September apabila kadar suntikan dos kedua melepasi kadar 50 peratus mengikut syarat indikator ditetapkan.

Semalam, negeri ini mencatatkan sebanyak 610 kes positif, namun tiada kematian akibat Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN