Pembangkang diharap sokong Azalina sebagai Speaker Dewan atau Peguam Negara - Utusan Malaysia

Pembangkang diharap sokong Azalina sebagai Speaker Dewan atau Peguam Negara

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan blok bebas diharap akan menyokong Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Peguam Negara baharu.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kedua-dua jawatan itu amat sesuai dengan kredibiliti beliau yang lantang mempertahankan demokrasi berparlimen dan undang-undang.

Katanya, Azalina juga merekodkan prestasi cemerlang ketika pernah menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, ilmu kepeguaman yang mantap dan mampu mengawal sidang Dewan Rakyat dengan profesional.

“Beliau mempunyai pakej terbaik untuk memegang jawatan ini. Sepanjang perkhidmatan beliau semasa menjadi timbalan speaker juga sering mengeluarkan kenyataan bernas mengenai pendekatan darurat politik dan isu penggantungan sidang Dewan Rakyat.

“Walhal ketika itu, Azalina merupakan ahli UMNO yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Namun, beliau tetap dikenali sebagai tokoh berprinsip yang sentiasa bercakap dan memberi pandangan tanpa sebarang ketakutan dan kebergantungan,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ketika ini, jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat disandang oleh Datuk Azhar Azizan Harun manakala Peguam Negara dipegang abang kandungnya, Tan Sri Datuk Idrus Azizan Harun.

Dalam pengumuman pelantikan 69 Menteri dan Timbalan Menteri semalam, Azalina tidak mendapat sebarang jawatan dalam Kabinet yang mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pemimpin politik kerajaan dan pembangkang.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan pelantikan Azalina sebagai Menteri Dalam Negeri.

Sehari sebelum itu, Azalina disahkan meletak jawatan sebagai timbalan speaker ekoran pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN