Pemandu Proton Preve nahas 3 maut ada 37 rekod jenayah - Utusan Malaysia

Pemandu Proton Preve nahas 3 maut ada 37 rekod jenayah

NOR OMAR SAPPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pemandu Proton Preve yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan tiga maut di Sitiawan pada 21 Ogos lalu didapati memiliki 37 rekod kesalahan lampau.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, semakan pihaknya mendapati suspek berusia 38 tahun itu memiliki 18 rekod kesalahan berkaitan dadah dan 19 rekod jenayah.

“Suspek yang direman tujuh hari berakhir hari ini, disambung reman tujuh hari lagi sehingga 6 September depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian di Kilometer 4 Jalan Sitiawan – Kampung Acheh kira-kira pukul 5.30 21 Ogos lalu sebuah kereta Proton Preve dinaiki tiga orang dari Lekir menghala ke Kampung Acheh terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam motosikal ditunggang dan dibonceng pekerja kilang Sapura Energy dari arah Kampung Acheh menuju ke Sitiawan.

Tiga daripada mangsa yang menaiki motosikal maut di tempat kejadian, tiga orang lagi dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM), seorang dirawat di Hospital Pantai Manjung manakala seorang lagi yang cedera dibenarkan keluar dari HSM pada hari kejadian.

Berikutan kemalangan itu, polis turut menahan penumpang kereta, lelaki berusia 24 tahun, di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Pemandu kereta tersebut pula menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 2.50 petang keesokan harinya.

Suspek kemudian direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan polis menyiasat lanjut kes kemalangan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas saringan air kencingnya mendapati dia positif dadah jenis methampetamine atau syabu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN