PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan mengadakan perbincangan bersama semua pemain industri di daerah ini bagi persediaan sekiranya sektor pelancongan dibuka dalam masa terdekat seiring dengan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa terdapat beberapa sektor temasuk pelancongan akan dibuka sekiranya Negeri Sembilan dapat beralih dari Fasa Satu PPN ketika ini ke fasa seterusnya.
“Esok saya akan berjumpa dengan pemain industri bagi membincangkan persediaan daerah ini sekiranya sektor ini boleh beroperasi dalam masa terdekat.
“Ia termasuk berkaitan cabaran, perancangan dan isu-isu berkaitan langkah seterusnya yang akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan dan Pemasangan Jalur Gemilang di Terminal Bas Port Dickson hari ini.
Menurutnya, pihak MPPD juga perlu menyediakan beberapa perancangan sebelum sektor pelancongan di daerah ini dibuka sepenuhnya.
“Pada permulaannya tentu dengan kehadiran pengunjung domestik, kami perlu bersedia daripada segi landskap, fasiliti, kemudahan, tandas, tempat- tempat makan yang dijangka akan kembali dibuka kelak.
“Bagaimanapun, kami sudah bersedia dengan kedatangan pelancong tidak lama lagi dan berharap mereka (pelancong) dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE